SUKAN

Karakter Jadi Penentu Masa Depan Noraqilah - Nova

30/06/2026 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pemain beregu wanita muda negara Noraqilah Maisarah Ramdan memiliki bakat besar, namun memerlukan karakter yang kuat untuk muncul sebagai pemain bertaraf dunia.

Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata kejayaan di pentas antarabangsa bukan sekadar bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya disiplin latihan dan mentaliti tertinggi.

"Saya selalu ingatkan mereka supaya menjaga karakter dan jangan cepat berpuas hati. Prestasi di gelanggang adalah perkara paling penting," katanya selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata pemain berusia 18 tahun itu mempunyai potensi besar untuk berjaya di peringkat antarabangsa, namun diingatkan supaya tidak terlalu hanyut dengan pujian kerana ia boleh menjejaskan perkembangan kariernya pada masa depan.

“Jika kita terlalu cepat menaikkan mereka (pemain muda), ia mungkin tidak baik untuk perkembangan mereka,” katanya.

Sebagai rekod, Noraqilah yang bergandingan dengan Low Zi Yu menewaskan gandingan ranking ketujuh dunia dari Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 pada aksi Kumpulan B di Piala Uber April lepas.

Dalam perkembangan lain, Nova berkata pasangan beregu campuran muda negara Chen Tang Jie-Clarissa San pula akan diberi tempoh empat kejohanan untuk membuktikan kemampuan.

"Kita akan melihat bagaimana mereka mengatasi tekanan ketika perlawanan, melaksanakan perancangan permainan secara konsisten dan saling membantu menutup kelemahan pasangan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Nova berkata selain Tang Jie-Clarissa, fokus skuad beregu campuran turut terarah kepada gandingan Jimmy Wong-Su Yin yang disasarkan menjadi sandaran negara dalam memburu slot ke Olimpik.

Beliau berkata pemain yang berhasrat untuk beraksi di Olimpik diingatkan memberi tumpuan kepada satu acara sahaja bagi memastikan kestabilan prestasi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574856