AM

Rakyat Malaysia Boleh Mohon Pasport Versi Baharu Mulai Esok

30/06/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini boleh memohon Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau hingga 10 tahun mengikut keperluan masing-masing, bermula esok. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pilihan tempoh sah laku itu memberi lebih kemudahan kepada rakyat, khususnya mereka yang kerap ke luar negara atas urusan pekerjaan, perniagaan, pengajian atau bersama keluarga.

Beliau berkata kadar bayaran bagi pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan pada RM350, sekali gus menawarkan penjimatan RM50 berbanding kos memperbaharu pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama.

“Semoga inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengukuhkan lagi kedudukan pasport Malaysia sebagai antara dokumen perjalanan yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata PMA baharu itu dipertingkatkan dengan 94 ciri keselamatan berbanding hanya 49 pada versi teradhulu, menerusi penggunaan pelbagai teknologi terkini seperti hologram, cetakan ultraungu (UV), latent image serta elemen perlindungan lain bagi mengurangkan risiko pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Beliau berkata pasport baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara bermula Julai ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada kerana ia masih sah digunakan sehingga hampir tamat tempoh sah lakunya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574868