JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Kelantan Tahan 13 Pati Di Gua Musang

30/06/2026 08:42 PM

GUA MUSANG, 30 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 13 pendatang menerusi pelaksanaan Ops Belanja, Op sMinyak dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Tanah Tinggi Lojing di sini, Ahad lepas.

Pengarah JIM Kelantan Garry Belayong Anak John Siki berkata sebanyak 25 warga asing telah diperiksa di lapan premis berasingan sepanjang operasi tersebut dijalankan.

Beliau berkata operasi dilaksanakan secara bersepadu dan tersusun hasil risikan serta pemantauan berterusan ke atas lokasi yang disyaki menjadi tumpuan warga asing.

“Operasi bermula seawal 4.00 pagi melibatkan 18 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan, termasuk Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Ruzaana Mohamed.

“Hasil pemeriksaan mendapati 13 pendatang ditahan melibatkan enam lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Pakistan, masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Kompleks Imigresen Kelantan untuk siasatan lanjut, kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Kelantan menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575086