Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza, tiga artis nasyid tanah air yang pernah diuji dengan masalah kesihatan serius, menyifatkan penyatuan mereka di bawah penjenamaan baharu The Rayhan sebagai peluang kedua untuk meneruskan dakwah menerusi muzik.
Bagi mereka, kemunculan semula itu bukan sekadar mengubat kerinduan peminat, tetapi membawa misi menghidupkan kembali nasyid sebagai hiburan yang mendidik jiwa serta menyampaikan nilai positif kepada masyarakat.
Nazrey berkata pengalamannya berdepan masalah empat saluran jantung tersumbat; Amran yang menjalani pembedahan akibat ulser perut kronik; serta Zulfadli yang diuji serangan angin ahmar sehingga menyebabkan pendarahan otak; memberi pengertian lebih besar kepada perjalanan baharu mereka.
pic-2
“Bagi kami, ini peluang kedua kehidupan. Selepas melalui ujian kesihatan, kami rasa masih diberi ruang untuk meneruskan kerja ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Menurutnya, sekalipun The Rayhan tampil dengan ejaan, identiti dan makna baharu, mereka masih mengekalkan roh hiburan mendidik jiwa yang sinonim dengan karya nasyid terdahulu.
Mengulas hala tuju kumpulan itu, Zulfadli atau lebih dikenali sebagai Afad, berkata The Rayhan diwujudkan bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak, sebaliknya mahu membantu mengangkat semula irama nasyid di Malaysia.
pic-3
“Kami berharap penyatuan ini dapat membuka ruang lebih luas kepada penyanyi nasyid lain untuk menghasilkan persembahan berkualiti. Nasyid bukan sekadar pilihan hiburan, tetapi satu perjuangan yang perlu terus diimarahkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, The Rayhan bakal menemui peminat menerusi Konsert Syukur 2026 di Megastar Arena, Bukit Bintang, di sini pada 15 Ogos depan.
Afad berkata konsert anjuran Bintang Batu Event dan Million Delight itu dijangka menampilkan kira-kira 25 lagu termasuk karya popular yang pernah dekat dengan peminat sejak lebih dua dekad lalu, koleksi kanak-kanak serta penampilan duet dengan penyanyi Indonesia, Opick.
pic-4
“Kita memang sasarkan keluarga. Mereka yang membesar dengan lagu-lagu ini dahulu mungkin sekarang sudah berkeluarga dan boleh membawa anak-anak mereka untuk merasai suasana yang pernah mereka lalui.
“Kita juga merancang memperkenalkan dua karya baharu bersempena dengan konsert ini sekiranya semuanya berjalan lancar,” katanya, menambah mereka kini giat menjalani latihan secara berkumpulan, selain menjadikan setiap persembahan kecil sebelum konsert sebagai persediaan untuk memantapkan vokal, susunan lagu dan keserasian di pentas.
Tiket Konsert Syukur 2026 boleh didapati secara dalam talian menerusi raihan.uberticket.asia.
-- BERNAMA