AM

TEKNIK GROUNDING BANTU KEMBALIKAN KESEIMBANGAN TUBUH SECARA SEMULA JADI

08/06/2024 11:21 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Setiap minggu, sekurang-kurangnya tiga kali  Ahmad Ridzuan Midan, 31, dan ibunya, Rahmah Mat Lani, 69, meluangkan masa kira-kira 30 minit berkaki ayam sambil “membelai” pokok-pokok bunga di halaman rumah mereka di Merlimau, Melaka.

Mereka akan membiarkan tapak kaki yang tidak beralas memijak tanah, berjalan di sekitar halaman dan memastikan kaki terkena lumpur, tanah, pasir dan juga rumput.

Biarpun dilihat seolah-olah bermain dengan kotoran, dua beranak ini mendakwa terapi “grounding” atau “earthing” (pembumian) yang diamalkan sejak setahun lepas, telah memberi perubahan positif pada tubuh mereka.

"Sebelum ini, ibu saya sukar untuk berdiri, dan alhamdulillah, selepas melakukan teknik ini, dia mudah untuk bangun dan berjalan, bahkan badan juga berasa lega dan semakin bersemangat.

"... selepas beberapa kali mengamalkan terapi, saya dapat rasakan perubahan posiitif dalam diri, antaranya membantu meredakan tekanan dan meningkatkan corak tidur serta melancarkan peredaran darah, justeru saya memperkenalkan pula teknik ini kepada ibu," kata  Ahmad Ridzuan ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata kaedah tersebut dilakukannya selepas mengikuti program “Terapi Alam dengan Teknik Grounding” menerusi laman sosial TikTok oleh Coach Dr Yazid yang merupakan Master Practitioner Neuro Linguistic Programming (Nfnlp USA) Certified Life Coach (USA). 

Dalam pada itu, Coach Dr Yazid, atau nama sebenarnya Prof Madya Dr Mohd Yazid Mohd Yunos, yang juga pensyarah di Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, berkata teknik grounding adalah amalan melibatkan sentuhan fizikal terus dengan permukaan bumi, bertujuan mengembalikan keseimbangan elektrik semula jadi badan, seterusnya meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.

Menurutnya, antara teknik grounding ialah berjalan berkaki ayam di atas tanah atau pasir, membaca buku sambil berbaring di atas tanah atau di bawah pokok, bersiar-siar di taman, berkelah di tepi pantai atau air terjun, sungai atau tasik, bermain di padang permainan, memeluk pokok, mandi, berendam dalam air, meredah hutan, mendaki bukit, merendam kaki dalam air garam, mandi air hujan, berenang, berkebun dan sebagainya.

"Teknik grounding yang berkesan mesti ada bahagian tubuh badan kita yang menyentuh bumi atau alam semula jadi, seperti tapak tangan menyentuh pokok, rumput atau tanah.

".. . kita mahukan pertukaran elektron daripada bumi beralih ke badan, kerana ketika grounding, elektron bergerak dari bumi memasuki badan dan bertindak sebagai antioksidan semula jadi bagi meneutralkan radikal bebas yang wujud di dalam badan, seterusnya bertindak melindungi tisu yang sihat daripada kerosakan dan mempercepat proses baik pulih badan, " katanya.

Mohd Yazid yang berkemahiran dalam terapi alam dan terapeutik landskap, berkata teknik itu adalah terapi paling murah dan mudah serta boleh dijadikan amalan untuk kesihatan fizikal, mental dan emosi, malah sesuai untuk semua peringkat usia.

"Jasad manusia terdiri daripada unsur tanah, (justeru) sesekali kita hendaklah kembali berpijak di bumi nyata. Apabila kita kurang berpijak (tanpa alas) di atas tanah, maka tubuh kita kurang terdedah kepada alam semula jadi.

"Badan secara semula jadinya berada dalam keadaan negative ionised state. Ditambah pula apabila sentiasa dikelilingi oleh teknologi yang mempunyai gelombang elektromagnetik, seterusnya mempengaruhi tenaga sehingga mempunyai banyak ion positif, " katanya. 

Justeru, katanya, bumi yang kaya dengan sistem biologi semula jadi, bertindak sebagai terapi berkesan dalam membantu manusia mengurangkan gangguan kesihatan mental akibat tekanan hidup demi mencapai kesejahteraan diri. 

"Di bumi, terdapat ion negatif, dan oleh itu, apabila kita kembali ke alam semula jadi dengan berkaki ayam di tanah, maka badan kita akan lebih seimbang, sekali gus membantu meningkatkan daya hidup, tahap kesihatan, kesejahteraan dan jangka hayat yang berpanjangan," katanya.

Bahkan, Mohd Yazid berkata kajian terbaharu oleh Prof Dr James L. Oschman yang diterbitkan dalam Biomedical Journal, Volume 46, Isu 1, Februari 2023  bertajuk “Illnesses in technologically advanced societies due to lack of grounding (earthing)”, menyatakan teknik ini adalah terapi selamat yang mampu mengoptimumkan fungsi fisiologi unik setiap individu, selain turut memberi kelegaan daripada penyakit menua  serta mampu melambatkan proses penuaan.

"Kenyataan itu dibuat kerana dalam penemuan beberapa kajiannya, radikal bebas yang ada di dalam tubuh manusia adalah punca berlaku cepat penuaan. Oleh itu, dengan berlakunya teknik grounding yang mengalirkan eletron cas ion negatif yang baik ke semua sel-sel tubuh, pengaliran elektron daripada teknik grounding ini mampu meneutralkan radikal bebas dalam setiap sel dan tisu tubuh manusia,” jelas beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan