AM

LATIHAN PERTAHANAN DIRI, TERAPI MUZIK UNTUK GOLONGAN ISTIMEWA DI NTW 2024

30/06/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Selain kursus dan program peningkatan kemahiran, Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di pekarangan parkir B, Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini turut menyediakan pelbagai latihan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian termasuk mempertahankan diri serta terapi muzik.

Demonstrasi menumbangkan peragut yang dikendalikan syarikat keselamatan WSS Sdn Bhd sememangnya mendapat perhatian pengunjung terutama kaum hawa yang ingin mengetahui teknik betul ketika berhadapan dengan situasi berbahaya.

Penolong Pengurus WSS Mohd Suhaimi Ahmad Badry berkata demonstrasi berkenaan turut melibatkan pengunjung yang hadir bagi memastikan latihan asas yang diberikan benar-benar difahami oleh mereka.

"Latihan di sini kebanyakannya untuk wanita dengan menunjukkan tempat-tempat lemah (pada tubuh manusia) yang boleh diserang untuk mengalahkan musuh," katanya.

Mohd Suhaimi berkata demonstrasi pengawal peribadi ketika berhadapan dengan serangan turut diadakan sebagai sebahagian daripada promosi untuk merekrut pengawal peribadi baharu dan kursus berkenaan turut diiktiraf oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Menurut Mohd Suhaimi, WSS yang ditubuhkan sejak Ogos 1998 menyediakan perkhidmatan pengawal peribadi bersenjata dan kini mempunyai kira-kira 60 pengawal peribadi terlatih dengan sebilangan kecil daripada mereka adalah wanita.

"Sepanjang NTW ini ada beberapa pengunjung yang menyatakan minat untuk menjadi pengawal peribadi. Selepas ini kami akan panggil temu duga terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian mereka," katanya.

Turut mencuri tumpuan pada NTW 2024 ialah pendidikan muzik untuk golongan kepelbagaian neuro seperti kanak-kanak lembam, disleksia dan masalah pertuturan yang dikendalikan oleh RSM Music Academy.

Pengarah Akademik RSM Tanne Toh berkata pendidikan muzik mampu meningkatkan kemahiran kognitif, koordinasi dan pemikiran kritikal bagi setiap individu terutamanya golongan istimewa.

"Golongan istimewa ini sukar untuk meluahkan perasaan jadi mereka luahkan dengan bermain muzik. Contohnya apabila mereka marah, mereka akan memainkan muzik dengan lebih kuat," kata Toh.

Selain itu, katanya RSM turut merancang untuk mendapatkan sijil profesional bagi menjalankan terapi muzik untuk kanak-kanak autistik pada masa akan datang.

NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil berlangsung selama dua hari mulai semalam bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan