BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM

SEPARUH DARIPADA 31,600 JEMAAH HAJI MALAYSIA SELESAI LAKSANA NAFAR AWWAL

18/06/2024 11:11 AM


From Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 18 Jun (Bernama) -- Lebih separuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia untuk musim 1445H/2024 selesai menyempurnakan 'nafar awwal' iaitu melontar jamrah lebih awal pada dua daripada tiga hari tasyrik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sebahagian lagi jemaah pula akan melaksanakan 'nafar thani' iaitu melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik sehingga esok, 19 Jun (13 Zulhijah). 

"Alhamdulilah pada hari ini sebahagian besar jemaah haji Malaysia menyempurnakan nafar awwal dan mereka akan mula bergerak ke Makkah menaiki bas untuk membuat persediaan pulang dengan penerbangan pertama 24 Jun ini," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata segala proses melontar bagi semua jemaah haji terutama dari Malaysia berjalan lancar setakat ini.

Hari tasyrik merujuk kepada hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijah mengikut kalendar Islam Hijrah.

Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan ibadah haji akan menyempurnakan ibadah itu dengan melakukan melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamratul Sughra, Jamratul Wusta dan Jamratul Qubra, selain Jamratul Qubra pada 10 Zulhijah. 

Melontar merupakan perkara wajib haji keenam selepas bermalam (bermabit) di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Jemaah haji Malaysia sebelum ini bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula pagi 8 Zulhijah 1445H bersamaan 14 Jun lepas untuk berwukuf di Arafah iaitu merupakan kemuncak haji pada 9 Zulhijah yang jatuh pada 15 Jun. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan