AM

MALAYSIA SASAR PERKUKUH KESATUAN, KEMAKMURAN ASEAN DI EKSPO DUNIA 2025

20/06/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk memperkukuhkan mesej kesatuan dan kemakmuran yang lebih luas dalam keluarga ASEAN menerusi penyertaan negara di Ekspo Dunia 2025 di Osaka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tahun hadapan merupakan tahun yang mengujakan buat Malaysia, memandangkan negara bukan sahaja akan tampil pada pentas dunia di Ekspo 2025 tetapi juga bakal memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.

“Memang terdapat persamaan teras antara platform-platform ini kerana kedua-duanya menyeru untuk kerjasama, inovasi dan visi bersama untuk masa depan yang lebih baik.

“Mereka (ASEAN dan Ekspo 2025) menggariskan kepentingan kesatuan, menekankan bahawa perspektif kita yang berbeza dan kekuatan unik masing-masing bukanlah halangan tetapi pemangkin untuk belajar, berkembang dan mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa,” katanya dalam ucapannya semasa pelancaran penyertaan Malaysia dalam ekspo tersebut.

Fadillah turut menyeru rantau ini untuk menerima serta menerapkan semangat kerjasama dan matlamat bersama.

“Ekspo 2025 bukan sekadar pameran; ia merupakan pentas global di mana negara-negara dapat mempamerkan idea, inovasi dan aspirasi untuk masa depan yang lebih dinamik dan lebih baik.

“Malaysia, selaras dengan Ekspo 2025, menambah keunikan kita ke dalam pameran ini, sesuatu yang disulam daripada kekayaan diversiti budaya dan warisan kita," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut berharap Pavilion Malaysia dapat memberikan inspirasi kepada pengunjung ekspo tersebut. 

Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Kansai akan diadakan bermula 13 April hingga 13 Oktober 2025 dan dijangka menarik 28.2 juta pengunjung.

Sebanyak 161 negara dan sembilan organisasi antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan