BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 EKONOMI

RHB KEKALKAN UNJURAN PERTUMBUHAN KDNK 2024 MALAYSIA PADA 4.6 PERATUS, INFLASI 3.3 PERATUS

20/06/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan inflasi Malaysia bagi 2024 masing-masing pada 4.6 peratus dan 3.3 peratus tahun ke tahun.

Dalam nota penyelidikan pada Khamis, bank pelaburan itu menjelaskan berdasarkan Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 baru-baru ini, pihaknya membuat kesimpulan tiga dapatan utama merangkumi unjuran kukuh terhadap pertumbuhan KDNK negara dan ringgit bagi tahun ini.

“Kedua, pembaharuan struktur akan menumpukan beberapa bidang utama seperti kemampanan fiskal, penambahbaikan perlindungan sosial dan penggalakan pelaburan yang berkualiti,” tambahnya.

Menurutnya aspek ketiga ialah kadar inflasi akan kekal sejajar dengan sasaran inflasi rasmi di antara dua peratus dengan 3.5 peratus bagi tahun ini.

“Perbincangan dan kenyataan oleh pegawai dalam simposium itu mengukuhkan lagi pandangan dalaman kami mengenai pandangan yang lebih optimistik terhadap prospek ekonomi Malaysia,” menurut bank pelaburan itu.

Cabang penyelidikan bank itu juga menjelaskan sesi panel mengenai ringgit, bon dan pasaran ekuiti menekankan bahawa mata wang tempatan dijangka kukuh memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat berkemungkinan mengurangkan Kadar Dana Persekutuan menjelang akhir 2024.

“Dalam pada itu, BNM secara aktif bekerjasama dengan pihak korporat untuk menghantar balik dana mata wang asing dan menarik aliran dana ke dalam pasaran untuk menstabilkan ringgit,” jelasnya.

Menurutnya tambahan pula, pemulihan eksport dijangka memperoleh momentum, disokong oleh kitaran naik teknologi global dan kekukuhan berterusan yang dicatatkan barangan bukan elektrik dan elektronik.

Dari segi domestik, kalangan ahli ekonomi RHB Investment Bank menyatakan guna tenaga yang berterusan dan pertumbuhan gaji akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Kemajuan berterusan yang dicatatkan projek swasta dan awam berbilang tahun, inisiatif pemangkin yang ditetapkan pelan induk negara, dan realisasi pelaburan yang diluluskan yang lebih tinggi akan menyokong aktiviti pelaburan.

“Sementara itu, pelaburan domestik oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang membentuk 62 peratus daripada jumlah asetnya (terutama dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap), akan terus memberikan kestabilan pendapatan jangka masa panjang melalui faedah dan keuntungan,” tambah bank pelaburan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan