BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 EKONOMI

ALIRAN PELABURAN KUKUH DIJANGKA PADA 2024 - TENGKU ZAFRUL

26/06/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Terdapat potensi untuk pelaburan yang diluluskan pada tahun ini melebihi RM329.5 bilion pada tahun lepas berdasarkan data yang positif dari suku pertama 2024, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM83.7 bilion dalam pelbagai bidang pada suku pertama, mewakili kenaikan sebanyak 13 peratus daripada RM74.1 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas.

“Kita dapat melihat daripada perancangan projek. Ia kelihatan amat kukuh. Ada yang telah diluluskan dan ada yang masih menunggu kelulusan.

“Kita perlu memastikan pelaburan itu diluluskan secepat mungkin,” katanya, sambil menambah ada yang menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan seperti sektor air.

“Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mendapatkan angka yang lebih baik,” kata Tengku Zafrul pada Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Stratum Focus Series XVII “SEMICON: Light at the end of the tunnel?” hari ini.

Pada 2023, Malaysia mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion, naik 23 peratus daripada RM267.7 bilion pada 2022. Daripada jumlah pada 2023, sebanyak 57.2 peratus daripada pelaburan asing manakala 42.8 peratus (sumber domestik).

“Pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun ini antara empat peratus dan lima peratus, justeru, pelaburan yang diluluskan akan meningkat sekurang-kurangnya sekali ganda daripada kadar tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan