AM

MOSTI MENERUSI MBOT DITERIMA SEBAGAI PENANDATANGAN PENUH SEOUL ACCORD 

20/06/2024 06:50 PM

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah diumumkan sebagai Penandatangan Penuh Seoul Accord pada Mesyuarat Agung Tahunan Seoul Accord yang berlangsung di India baru-baru ini.

Ia sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia serta kredibilitinya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di persada antarabangsa melalui pengesahan status sebagai penandatangan penuh itu. 

Dalam kenyataan hari ini MOSTI memaklumkan pengiktirafan Seoul Accord dijangka membantu meningkatkan keyakinan pelabur khususnya dalam bidang teknologi tinggi bagi meluaskan operasi mereka di Malaysia kerana bakat tempatan yang kini diiktiraf adalah setaraf dan memenuhi standard antarabangsa.

“Dalam usaha mencapai pengiktirafan ini, MBOT telah bekerja keras sepanjang tempoh lima tahun bermula pada 2019 sebagai penandatangan sementara Seoul Accord hingga menjadi penandatangan penuh pada hari ini.

“Sepanjang proses itu, MBOT telah dibimbing oleh Australia Computer Society (ACS), Australia, yang berperanan sebagai mentor,” menurut MOSTI. 

Seoul Accord merupakan perjanjian pelbagai hala antara badan yang bertanggungjawab memberikan akreditasi kepada program peringkat ijazah dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat di peringkat akademik.

Pada masa ini, Australia, Kanada, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea, Mexico, United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan negara penandatangan penuh Seoul Accord.

Menurut MOSTI proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai penandatangan penuh melibatkan pelbagai sesi penilaian termasuk lawatan audit ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dan Universiti Multimedia (MMU) bagi program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) Sistem Maklumat.

“MBOT telah menerima maklum balas positif daripada panel penilai terutamanya berkenaan kesetaraan standard akreditasi MBOT dengan Seoul Accord, iaitu panel yang terlibat adalah daripada Accreditation Board for Engineering and Technology (ABET), Institute of Engineering Education Taiwan (IEET) dan British Computer Society (BCS),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan melalui status sebagai Penandatangan Penuh Seoul Accord, program sarjana muda khususnya dalam tiga bidang yang diakreditasi oleh MBOT iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Keselamatan Siber serta Teknologi Seni Reka dan Multimedia Kreatif setaraf dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Seoul Accord.

Oleh itu, bagi membolehkan siswazah tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan program sarjana muda dalam bidang berkenaan perlu mendapatkan akreditasi MBOT sekali gus meningkatkan prospek dan kerjaya mereka di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan