EKONOMI

CELCOMDIGI SEDIA MUKTAMAD PERJANJIAN LANGGANAN SAHAM DENGAN MOF INC DAN DNB

20/06/2024 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- CelcomDigi Bhd bersedia untuk memuktamadkan perjanjian langganan saham bersyarat (SSA) dan memulakan proses membina rangkaian 5G kedua Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata semua syarat terdahulu dalam SSA bersyarat yang dimeterainya dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) dan Digital Nasional Bhd (DNB) pada 1 Dis 2023 telah dipenuhi.

CelcomDigi dalam satu kenyataan berasingan pula berkata pengumuman terkini itu mengesahkan keputusannya untuk menjadi pemegang saham dalam DNB.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata syarikat itu menyokong pelaksanaan model 5G secara dwi rangkaian.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pelan peralihan dwi rangkaian untuk rangkaian 5G kedua ke arah proses yang adil dan telus.

“Syarikat juga berharap hasilnya nanti mampu mengimbangi impak ekonomi dan pasaran secara saksama, memberi manfaat kepada kerajaan dan industri, dan yang paling penting memberi manfaat kepada pelanggan dan perniagaan Malaysia,” katanya.

Kementerian Komunikasi sebelum ini berkata proses pemilihan untuk membina dan mengendalikan rangkaian 5G kedua Malaysia akan dimulakan sebaik sahaja SSA  itu dimuktamadkan.

Syarikat itu mendahului jadual dalam program penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya untuk membina rangkaian digital, melepasi 50 peratus pada pertengahan Jun 2024.

Dalam perkembangan lain, Maxis Bhd hari ini berkata langganan 100,000 saham biasa baharu oleh Maxis Broadband dalam DNB pada harga terbitan RM1.00 sesaham telah selesai, dan syarat terdahulu yang melibatkan langganan saham dan pendahuluan pemegang saham telah dipenuhi.

“Setelah syarat-syarat terdahulu dipenuhi, SSA tersebut telah menjadi tidak bersyarat dan pihak-pihak di bawah SSA  akan meneruskan ke peringkat seterusnya untuk melengkapkan pelaburan yang dicadangkan itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan