AM

UKMSC2 BAKAL PERKENAL TEKNOLOGI PERUBATAN TERKINI, AMALAN LESTARI

21/06/2024 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi anak syarikatnya, UKM Holdings Sdn Bhd (UKMH) merancang menubuhkan UKM Specialist Centre 2 (UKMSC2) menjelang 2026 bagi menampung peningkatan jumlah pesakit di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKMH Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata pusat perubatan pakar baharu yang bakal dibina di atas tanah berkeluasan 1.416 hektar (3.5 ekar) di dalam kawasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, itu akan menampung lebih ramai pesakit dengan kapasiti 100 katil.

“Penubuhan UKMSC2 menggunakan teknologi perubatan moden seiring dengan perubahan dan penemuan pelbagai jenis penyakit baharu yang muncul serta menjadi cabaran utama kepada UKMSC dalam menangani penyakit tersebut.

“Setelah lebih dua dekad beroperasi di bawah naungan UKMH, penjenamaan semula UKMSC dan penubuhan UKMSC2 menandakan satu lagi usaha UKMSC memperkukuhkan identiti dan peranannya sebagai pusat rawatan pakar terkemuka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UKMSC2 itu akan menempatkan lebih banyak perkhidmatan kepakaran termasuk klinik rawatan pesakit luar dan dalam; dewan-dewan bedah unit rawatan rapi (ICU), unit penjagaan kritikal (CCU) dan unit dependensi tinggi (HDU); klinik rehabilitasi; perkhidmatan diagnostik serta sokongan perubatan selain perkhidmatan hospital digital dan hospital lestari (Green Hospital).

“Pertambahan perkhidmatan pakar ini sekali gus akan membuka peluang lebih banyak dalam penyelidikan dan inovasi  bidang perubatan bagi pakar-pakar perubatan terlibat, yang seterusnya akan memberikan manfaat besar kepada seluruh sektor kesihatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata dengan penubuhan UKMSC2 kelak akan menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing untuk membangunkan inovasi teknologi perubatan di Malaysia justeru membantu UKM menjana pendapatan ke arah kemandirian kewangan sendiri.

Jelasnya, Kumpulan Strategi Pembangunan Perniagaan UKMH turut membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja terlatih bagi memastikan kelangsungan tenaga kerja cekap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Selain itu, UKMSC juga giat memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi perubatan terkemuka di luar negara untuk meningkatkan kepakaran dan teknologi kesihatan agar UKMSC mampu menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan pusat rawatan pakar di peringkat global.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan reputasi UKMSC, tetapi juga memberikan manfaat besar kepada pesakit yang memerlukan rawatan khusus,” katanya.

Beliau berkata penubuhan UKMSC2 itu juga akan menjadikan UKM satu daripada universiti terkemuka negara yang cemerlang dari sudut perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Berbekalkan sokongan padu dari UKMH dan perancangan yang teliti, UKMSC komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat dan sektor kesihatan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan