AM

PERDA AGRESIF TURUN PADANG SANTUNI KOMUNITI LUAR BANDAR

23/06/2024 03:48 PM

NIBONG TEBAL, 23 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan meneruskan agenda membantu rakyat menerusi penganjuran pelbagai program turun padang bagi mendekatkan agensi itu dengan komuniti di luar bandar.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata beliau yakin menerusi kaedah itu penyampaian maklumat dapat dibuat secara lebih berkesan sekali gus membolehkan masyarakat memahami dan mengenali PERDA dengan lebih mendalam termasuk program serta bantuan-bantuan yang ditawarkan.

“Seperti hari ini, kita adakan Program Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati...ini siri ketiga dibuat tahun ini.. Kita mahu lebih agresif turun padang bertemu masyarakat supaya penyampaian dapat dibuat secara lebih berkesan mengenai input dan program ditawarkan PERDA.

“Selain projek perumahan PERDA juga ada Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) yang menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di samping pinjaman serta geran untuk membantu usahawan terutama peniaga kecil luar bandar,” katanya ketika ditemui pada program itu di Taman Sungai Bakap Perdana di sini hari ini.

Shaik Hussein berkata komuniti luar bandar antara komponen kumpulan sasar terbesar dan PERDA akan memastikan segala manfaat serta faedah pelaksanaan program dan projek yang dilaksanakan turut dinikmati oleh kumpulan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar PERDA Mohd Asri Baharum berkata program seumpamanya bukan sekadar medium mendekatkan agensi dengan masyarakat tetapi turut digunakan bagi mendapatkan input, maklum balas serta idea orang ramai bagi tujuan penambahbaikan selain memperkasakan lagi agensi itu selari perkembangan semasa.

“Hujung tahun ini dasar PERDA 2.0 akan dibangunkan, justeru menerusi program ini kita juga mengambil inisiatif mengumpulkan input daripada masyrakat luar bandar agar dapat diguna pakai dalam penambahbaikan pelan strategik PERDA pada masa depan demi kesejahteraan rakyat.

“Setakat ini, kita sudah mengumpul lebih kurang 500 idea untuk disaring dan kita akan  klusterkan mengikut kesesuaian termasuk program di PERDA-TECH,“ katanya.

Antara idea yang dicadangkan termasuk melonggarkan syarat kemasukan ke PERDA-TECH untuk pelajar yang tidak layak masuk ke institusi pengajian tinggi dan mengadakan program kerjasama dengan syarikat lebih besar supaya peluang pelatih mendapatkan pekerjaan lebih tinggi.

Bagi Program Pembangunan Usahawan pula dicadangkan supaya PERDA tidak hanya memfokuskan kepada usahawa berjaya sebaliknya turut menumpukan kepada mereka yang baharu berjinak-jinak dalam perniagaan dengan memberi bimbingan, latihan serta geran bersesuaian.

Terdahulu, PERDA turut mengadakan Pra Pelancaran Projek Perumahan Taman Sungai Bakap Perdana Fasa Il dan Fasa III, menerusi pembinaan sebanyak 105 Unit rumah dan dijangka siap pada Sept 2025, melibatkan penggunaan tanah seluas tiga hektar.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan