AM

BANJIR: 37 ORANG DIPINDAHKAN DI MEMBAKUT, SABAH

23/06/2024 11:43 PM

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Sebanyak 37 orang daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir di Membakut, setakat 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir itu telah dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon, Beaufort.

“Hujan berterusan yang berlaku di Membakut sejak Khamis lepas menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir dan jumlah mangsa yang dipindahkan malam ini menunjukkan trend meningkat.

“Agensi penyelamat membuat pemantauan ke beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir seperti Jalan Lembah Poring, Kampung Baitam Baru, Kampung Ulu Baitam, Kampung Lampijas, Kampung Kayai, Kampung  Jambatan Baru dan Jalan Balai Polis,” menurut kenyataan itu.

Membakut merupakan daerah di kawasan pedalaman Sabah kira-kira 90 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan  Bencana Daerah (JPBD) yang juga Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki berkata semua agensi keselamatan diarah berada di lapangan bagi memantau dan melakukan penilaian semasa keadaan banjir terutamanya bagi tujuan pemindahan mangsa.

“Berlaku bencana banjir di daerah Membakut yang menyebabkan beberapa kawasan hotspot mula terjejas. Bilik Gerakan Bencana Daerah juga telah diaktifkan secara rasmi dan digerakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan berasingan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan