EKONOMI

SUNWAY MALLS SASAR PERTUMBUHAN JUALAN 6.5 PERATUS PADA SEPARUH PERTAMA 2024

01/07/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Sunway Malls menyasarkan prestasi jualan mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus bagi separuh pertama 2024 tahun ke tahun, dipacu oleh pertumbuhan kukuh yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.

Pengendali pusat beli-belah itu menjelaskan prestasi lebih baik berbanding jangkaan yang direkodkan Sunway Carnival, prestasi sektor makanan dan minuman (F&B) yang berdaya tahan serta pertumbuhan dua angka subsektor barang kemas dan kesihatan dan penjagaan diri adalah antara pemacu utama yang menyokong prestasi jualan keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema HC Chan berkata strategi pihaknya yang menumpukan wilayah utara selain wilayah utama tradisional di zon tengah membuahkan hasil dan pengembangan Sunway Carnival pada 2023 mengorak laluan untuk sumbangan lebih baik dari segi pertumbuhan jualan.

“Sunway Carnival mendahului prestasi jualan dalam kalangan pusat beli-belah Sunway semasa musim perayaan Aidilfitri lepas. Kami mejangkakan peningkatan dengan hasil yang lebih baik daripada campuran penyewa yang memperbaharu sebaik saja pengubahsuaian 500,000 kaki persegi ruang sedia ada selesai,” menurutnya.

Menurut Sunway Malls prestasi F&B juga terbukti teguh susulan indikator menunjukkan pertumbuhan enam peratus.

Segmen barang kemas merekodkan pertumbuhan 14 peratus tahun ke tahun apabila permintaan kukuh terhadap emas melonjakkan jualan manakala segmen kesihatan dan penjagaan diri mencatatkan pertumbuhan tertinggi tahun setakat ini dengan pertumbuhan 25 peratus tahun ke tahun.

Bagi prospek jangka masa panjang dan keseluruhan, Sunway Malls dijangka mengembangkan portfolio pusat beli-belah melalui pembangunan yang dirancang dan pengambilalihan dengan keluasan boleh sewa bersih 1.5 juta kaki persegi, susulan pengumuman pengambilalihan oleh Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) baru-baru ini.

“Dalam perancangan, Sunway juga sedang membina tiga pusat beli-belah -- Sunway Square dengan ruang runcit 300,000 kaki persegi di Sunway City Kuala Lumpur; Sunway Pier dengan ruang runcit 350,000 kaki persegi di Pelabuhan Klang; dan Sunway Ipoh Mall dengan ruang runcit sejuta kaki persegi di Sunway City Ipoh.

“Sunway Square dijangka siap pada 2025 manakala Sunway Pier dan Sunway Ipoh Mall dijangka siap pada 2027,” menurut Sunway Malls.

Portfolio Sunway Malls, termasuk pembangunan yang dirancang dan aset yang dibeli, akan meningkat daripada tujuh pembangunan runcit kepada 17.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan