AM

TARIKH MESYUARAT KETIGA PARLIMEN KE-15 DIPINDA KE 14 OKT HINGGA 12 DIS - SPEAKER

24/06/2024 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Tarikh bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 dipinda ke tarikh baharu 14 Okt hingga 12 Dis ini berbanding yang ditetapkan sebelum ini pada 7 Okt hingga 5 Dis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhuran sempena Mesyuarat Kedua hari ini berkata sidang berkenaan akan berlangsung selama 35 hari.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Notis perubahan itu dihantar kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat pada Jumaat, 14 Jun 2024,” katanya.

Johari turut mengingatkan Ahli Dewan Rakyat supaya mematuhi masa yang ditetapkan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

“Pematuhan ini adalah penting bagi membolehkan lebih banyak pertanyaan dapat dijawab di Dewan yang mulia ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal dan bekas Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup yang meninggal dunia, masing-masing pada 10 Mei dan 17 April lepas.

Pada pemasyhuran itu, Johari turut mengajak semua Ahli Parlimen berdiri dan bertafakur bagi memberi penghormatan kepada kedua-dua mendiang yang telah banyak berjasa kepada negara tercinta.

“Saya mengharapkan seluruh ahli keluarga kedua-dua mendiang terus tabah dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Dalam ucapan itu, Johari menyifatkan Mutang yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990 sebagai seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasi institusi Parlimen dan amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Johari memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan 14 akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.

Akta berkenaan adalah Akta Perbekalan Tambahan (2023) 2024, Akta Perbekalan Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024, Akta Polis (Pindaan) 2024,  Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024, Akta Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2024.

Selain itu, Akta Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024, Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2024, Akta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024, Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, Akta Keselamatan Siber 2024, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2024 dan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2024.

Johari turut memaklumkan beliau menerima perutusan daripada bekas Yang Dipertua Dewan Negara yang menyatakan persetujuan dewan berkenaan kepada undang-undang diluluskan Dewan Rakyat pada tempoh sama kecuali Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dengan sedikit pindaan pada Fasal 1.

“Saya telah menimbang pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73 (1) dan saya mendapati pindaan itu menepati tujuan dewan ini dan melibatkan pindaan satu fasal sahaja.

“Oleh demikian, saya dengan ini memaklumkan kepada majlis akan hal itu dan memohon majlis memerintahkan pindaan itu terus dipertimbangan dan saya memerintah perkara ini hendaklah ditimbangkan pada suatu hari yang akan ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan