POLITIK

ENAM AHLI PARLIMEN BERSATU SOKONG PM BERI PENJELASAN KEPADA SPEAKER

30/06/2024 05:09 PM

TAIPING, 30 Jun (Bernama) -- Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada Khamis lepas berkenaan tindakan parti itu mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan kerusi tersebut. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mewakili kumpulan itu berkata surat itu dihantar bagi memudahkan Speaker membuat pertimbangan sewajarnya sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Surat penjelasan itu mempersoalkan pemecatan kami daripada Bersatu di mana tindakan itu dilakukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Pemecatan ini tidak berlandaskan kepada Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas hak untuk mengosongkan kerusi Parlimen tertakluk kepada pengisytiharaan daripada mulut wakil rakyat itu sendiri,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang dekat sini, hari ini. 

Pada 24 Jun lepas, Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis pemakluman mengenai kekosongan enam kerusi Parlimen di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan beliau memerlukan 21 hari untuk mengkaji notis itu.

Enam kerusi Parlimen berkenaan melibatkan Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan),  Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) selain Syed Abu Hussin.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan