AM

TAMAN EKO RIMBA PUNCAK JANING DITUTUP SEMENTARA BERIKUTAN KENCING TIKUS

24/06/2024 02:12 PM

ALOR SETAR, 24 Jun (Bernama) -- Taman Eko Rimba Puncak Janing dekat Padang Terap ditutup sementara bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak berikutan terdapat dakwaan berlaku kes jangkitan kencing tikus.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Muhammad Abdullah berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat bersama pegawai daerah berkenaan setelah mendapat laporan terdapat individu yang mengalami simptom dijangkiti kencing tikus selepas berkunjung ke taman rekreasi itu.

“Ada kes melibatkan individu bergejala dijangkiti kencing tikus. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Padang Terap sedang melakukan pemantauan dan siasatan. Kita tunggu pengesahan daripada mereka dahulu.

“Taman berkenaan telah ditutup sementara waktu bagi mengelakkan pengunjung sehingga keadaan pulih dan selamat. Kita juga sudah meletakkan tali amaran bagi mengelak pengunjung masuk ke kawasan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya berharap penduduk setempat tidak menceroboh kawasan itu kerana notis sudah dikeluarkan.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) turut berkongsi notis penutupan taman eko rimba berkenaan bermula hari ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak di laman media sosial Facebooknya.

Sebelum ini media melaporkan, dua pengunjung menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini selepas disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus setelah berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu dekat Baling.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan