EKONOMI

SOLARVEST BEKERJASAMA DENGAN GREENROCK ENERGY DARI TAIWAN BANGUN PROJEK TENAGA HIJAU

24/06/2024 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pakar tenaga bersih Solarvest Holdings Bhd bekerjasama dengan pemain industri tenaga boleh baharu, GreenRock Energy dari Taiwan untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian tenaga hijau di Taiwan dan Malaysia. 

Solarvest berkata sasaran GreenRock Energy adalah untuk mencapai satu gigawatt (GW) projek tenaga boleh baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, justeru, perkongsian tersebut merupakan satu kemajuan penting bagi syarikat tersebut.

“Melalui kerjasama ini, GreenRock Energy menyasar untuk meluaskan pengembangan serantaunya dengan memanfaatkan kekuatan Solarvest di Malaysia dan pasaran Asia Tenggara, sekali gus memacu transformasi tenaga dan pembangunan mampan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Solarvest berkata, GreenRock Energy juga optimis terhadap prospek tenaga hijau Malaysia dan komited untuk menerajui revolusi tenaga bagi mencapai kadar pelepasan karbon yang rendah pada masa depan. 

Menurutnya, GreenRock Energy merupakan syarikat Taiwan pertama yang mengambil bahagian dalam projek tenaga hijau kerajaan Malaysia.

Setakat Mac 2024, Solarvest mencapai 1.2 GW rekod prestasi projek di peringkat serantau, dengan 440 megawatt (MW) projek dalam pembinaan dan 348 MW aset solar, mencerminkan penerajuan dan pengalaman luas syarikat itu di peringkat serantau.

Solarvest menyediakan perkhidmatan menyeluruh, termasuk pembangunan solar, reka bentuk, penggunaan, pembinaan, operasi, penyelenggaraan, dan pengurusan aset. 

Selain Malaysia, Solarvest juga membangunkan perniagaan tenaga boleh baharu di Taiwan, Singapura, Filipina, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Syarikat itu turut bekerjasama dengan GreenRock Energy dalam projek agrivoltaik dan akuavoltaik berskala besar, menyasarkan projek dengan kapasiti 500 MW di Taiwan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan