AM

PERMOHONAN SUBSIDI PENDIDIKAN AWAL TADIKA SWASTA, BANTUAN SUBSIDI DIALISIS DIBUKA HARI INI - MITRA

24/06/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Permohonan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta Tahun 2024/2025 dan Program Bantuan Subsidi Dialisis di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dibuka hari ini hingga 23 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P.Prabakaran berkata permohonan untuk subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta itu, bertujuan memastikan kanak-kanak India Malaysia berumur empat hingga enam tahun, menerima pendidikan awal selain membantu pengusaha tadika swasta dalam pengoperasian tadika yang lebih kompetitif.

“Dengan peruntukan RM10.8 juta, ia bakal membantu 4,500 pelajar tadika daripada masyarakat India dan setiap pelajar akan menerima subsidi yuran bulanan dengan nilai maksima RM150 dan kos makanan RM50,  bagi tempoh 12 bulan mulai Mac 2024 sehingga Februari 2025 yang akan disalurkan kepada pihak pengurusan tadika.

“Pengusaha tadika yang berkelayakan perlu membuat permohonan di laman sesawang MITRA Geran 2024 di pautan https://shorturl.at/WW9sq dan borang permohonan yang tidak lengkap atau tidak memenuhi syarat tidak akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Sementara itu Prabakaran berkata Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA, akan menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit kaum India yang menghidap penyakit buah pinggang pada peringkat end-stage renal disease (ESRD), khususnya pesakit kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan dialisis.

“RM7.59 juta diperuntukkan untuk membantu 500 pesakit, manakala perinciannya adalah sebanyak RM10,000 bagi rawatan dialisis, suntikan (RM2,800), ujian darah (RM600) dan kos pengangkutan (RM1,500). Setiap pesakit bakal menerima bantuan kos rawatan RM15,000 untuk satu tahun.

“Permohonan hendaklah dikemukakan melalui Google Form di pautan https://shorturl.at/K7GGL serta memuat turun Borang Pengesahan Bantuan Subsidi Dialisis MITRA 2024 dan memuat naik Borang Pengesahan Bantuan Subsidi Dialisis MITRA 2024 yang disahkan oleh pakar perubatan dan pusat dialisis,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan