EKONOMI

KERAJAAN PERLU TINGKATKAN DASAR, INFRASTRUKTUR BAGI INTEGRASI TBB DI ASEAN - RAFIZI

25/06/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan perlu mengamalkan pendekatan yang holistik terhadap dasar dan infrastruktur bagi meningkatkan bekalan tenaga boleh baharu (TBB) dan memastikan pembangunan mampan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, Malaysia bercadang untuk meningkatkan kapasiti TBB dengan lebih ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, membuka jalan kepada pendekatan serantau yang lebih bersepadu dalam komuniti Asean.

“Kita perlu mewujudkan dasar yang komprehensif dan infrastruktur yang kukuh untuk menyokong pengembangan TBB.

“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan bekalan TBB yang lebih ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang, ke arah strategi serantau yang kukuh,” kata Rafizi semasa sesi panel di Mesyuarat Tahunan Juara Baharu bertemakan ‘Peluang Menguruskan Permintaan Tenaga,’  anjuran Forum Ekonomi Dunia di China hari ini.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean, ia bersedia untuk menyokong projek utama bagi memajukan pertumbuhan hijau yang bersepadu di seluruh rantau ini.

Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara kapasiti TBB di negara berbeza, dengan kapasiti berlebihan di utara dan permintaan tenaga yang lebih tinggi di selatan.

“Malaysia komited untuk memacu Asean ke arah pertumbuhan hijau bersepadu. Matlamat kita adalah untuk mewujudkan pendekatan serantau yang teguh bagi memudahkan peralihan kepada tenaga mampan, dihubungkan melalui Semenanjung ke Singapura dan Indonesia,” kata Rafizi.

Bagi menyelesaikan kompleksiti permintaan tenaga, beliau berkata kepentingan kritikal untuk memastikan keseluruhan sistem tenaga adalah mampan, antaranya grid, bekalan, dasar dan insentif.

Rafizi berkata kerajaan perlu bersedia untuk melabur dalam infrastruktur dan menggubal dasar dan perubahan kawal selia, terutama mengenai penentuan harga.

“Model libat urus sektor awam-swasta (PPE) yang berjaya melibatkan kerajaan melakukan semua yang diperlukan untuk membina infrastruktur dan menyesuaikan dasar dan peraturan.

“Apabila menyentuh mengenai dasar dan insentif, mereka mesti mewujudkan struktur kos dengan alternatif berdaya maju dan mampan,” kata Rafizi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan