EKONOMI

ASEAN AGRESIF PROMOSI KECEMERLANGAN EKONOMI DAN BUDAYA RANTAU INI - PM ANWAR

03/07/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- ASEAN berusaha dengan cara yang sangat dinamik dan agresif untuk mempromosikan rantau ini sebagai rantau yang cemerlang dari segi ekonomi dan budaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya fikir itu semua untuk masa depan dunia sebagai bukti bahawa kita boleh saling bekerjasama serta saling mempercayai,” katanya pada persidangan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman & Binaan Antarabangsa Ke-23 2024 (ARCHIDEX) di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia dan China telah menjalin hubungan dan strategi yang sangat baik termasuk perkongsian strategik yang menyeluruh.

"Kita harus memastikan bahawa ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua ASEAN dan China," kata beliau.

Anwar berkata rantau ini beruntung kerana memiliki nilai saling mempercayai dan komitmen teguh untuk bekerjasama sebagai satu kuasa.

“Dan ini sudah tentunya wajar dipuji. Kita mahu setiap negara di ASEAN mendapat manfaat daripada usaha ini yang kita capai kejayaan bersama dari segi ekonomi dan sosial.

"Iaitu apabila kita mengambil prinsip berkecuali ini untuk meraih manfaat daripada pengalaman Barat, Eropah, Amerika Syarikat dan kini dengan China," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata tumpuan rantau ini untuk menggalakkan amalan mampan menunjukkan keazamannya untuk memberi manfaat kepada  semua pemegang kepentingan, memastikan daya tahan ekonomi dan alam sekitar yang berpanjangan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan