AM

PBT JALANKAN PROSES PENILAIAN SEMULA ASET DI N. SEMBILAN

25/06/2024 06:57 PM

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan proses penilaian semula semua pegangan atau aset di seluruh daerah di negeri ini setelah 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar berkata kerja penilaian harta itu wajar dilakukan, namun mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk menyelesaikannya.

Menurut beliau, penilaian semula dilakukan sejak 2020 itu adalah proses biasa bagi menilai aset atau harta benda seperti kediaman, rumah kedai dan industri atau bangunan di dalam kawasan PBT terbabit mengikut nilaian semasa.

“Kali terakhir penilaian dilakukan pada 1983, sebagai contoh terdapat 350,000 harta di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sedang dalam proses penilaian semula, setakat ini baru separuh dinilai.

“Tanggapan di luar, penilaian semula ini akan menyebabkan kenaikan cukai taksiran, tetapi setakat ini belum ada keputusan sama ada berlaku kenaikan cukai atau sebaliknya, kerja penilaian ini masih berjalan dan mengambil masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menerima aduan kenaikan cukai taksiran di bawah MBS, namun memperjelaskan kenaikan itu melibatkan kawasan industri setelah pemutihan dilakukan terhadap lebih 900 premis.

“Sejak 20 hingga 30 tahun dulu, penilaian kawasan industri ini dikenakan atas status komersial, sudah tentu nilai tahunan untuk lot tersebut kurang. Kalau dulu bagi kawasan industri Nilai 3, nilai tahunan RM12,000 (status komersial), selepas pemutihan, nilai tahunan menjadi RM26,400,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan