AM

KES DEMAM DENGGI MENINGKAT, LIMA KEMATIAN PADA ME24

26/06/2024 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 2,900 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) bagi tempoh 9 hingga 15 Jun lepas dengan lima kematian direkodkan, berbanding 2,508 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME24 adalah 70,037 kes berbanding 54,139 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 53 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan hingga ME24 berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 85 lokaliti hotspot dikenal pasti pada ME24, berbanding 71 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada 85 lokaliti itu, katanya 58 lokaliti melibatkan Selangor, lapan lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah (enam), Perak (lima), Negeri Sembilan (empat) manakala Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing dua lokaliti.

Beliau turut berkata tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME24 manakala bagi survelan zika, sebanyak 1,024 sampel darah, enam sampel urin dan dua sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Amalkan langkah-langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian berwarna cerah dan menutup anggota badan yang terdedah terutama sewaktu menjalankan aktiviti di luar rumah pada waktu aktif gigitan nyamuk Aedes, iaitu pada 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan