EKONOMI

15 INISIATIF DILAKSANA DI BAWAH PELAN TINDAKAN STRATEGI PENSIJILAN MSPO

26/06/2024 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 15 inisiatif strategik telah dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Strategi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2024–2026 untuk mengukuhkan jenama MSPO, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin. 

Beliau berkata antara inisiatif strategik tersebut ialah penjenamaan semula MSPO daripada Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), usaha penerimaan dan pengiktirafan skim pensijilan MSPO oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam kerangka Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan penerimaan skim pensijilan MSPO Biomass di Jepun. 

Katanya pelan tindakan itu yang dirangka untuk memperkukuh dan meningkatkan penerimaan skim pensijilan MSPO di pasaran global berada dalam proses pelaksanaan. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin mengetahui mengenai status Pelan Tindakan Strategi Pensijilan MSPO 2024-2026 di Dewan Rakyat hari ini. 

Setakat 31 Mei lepas, sebanyak 86 peratus atau 4.84 juta hektar daripada 5.62 juta hektar jumlah keluasan penanaman sawit di negara ini, mendapat MSPO.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan