BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA DINIAGAKAN TINGGI MINGGU DEPAN

29/06/2024 10:42 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) --Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan apabila peniaga bertindak balas terhadap data inflasi utama Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan pada Jumaat, kata seorang penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata perbelanjaan penggunaan pembelian teras (PCE) bulanan AS bagi bulan Mei 2024 meningkat 0.1 peratus dan perkembangan itu menyokong jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mula menurunkan kadar faedah pada September.

“Justeru, FBMKLCI dijangka diniagakan dalam lingkungan 1,610 hingga 1,650 minggu depan. Selain itu, kami mengunjurkan pengukuhan ringgit Malaysia pada minggu akan datang.

“Disebabkan oleh data PCE yang rendah, niaga hadapan emas dijangka kekal dalam trend menaik, didagangkan dalam julat US$2,320 hingga US$2,350. Risiko pasaran saham semakin meningkat apabila penilaian dilanjutkan dan peningkatan berlaku,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau menjangka Bursa Malaysia kekal dalam mod penyatuan minggu depan walaupun pasaran disokong oleh penilaian menarik dan sokongan berterusan daripada institusi tempatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ketidaktentuan di peringkat global yang semakin meningkat mungkin akan menyebabkan dagangan lebih berhati-hati untuk minggu hadapan.

"FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan penurunan minggu lepas tetapi meningkat sedikit hari Jumaat. Walaupun berlaku kenaikan, kami menjangkakan KLCI mungkin mengalami penyatuan selanjutnya dan mewujudkan asas dalam jangka pendek hingga pertengahan.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan turun naik dalam julat 1,580-1,600 minggu depan dengan paras sokongan serta-merta pada 1,575, diikuti 1,565 dan paras rintangan pada 1,610 diikuti 1,619," katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menyusut 0.28 mata kepada 1,590.09 daripada 1,590.37 minggu lepas.

Sepanjang minggu ini, pasaran kebanyakannya dalam keadaan rendah berikutan aktiviti pengambilan untung seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 28.43 mata kepada 12,216.40, Indeks FBMT 100 merosot 47.92 mata kepada 11,798.06, Indeks FBM Emas Syariah turun 26.47 mata kepada 12,552.70, Indeks FBM 70 berkurangan 85.22 mata kepada 17,841.89, dan Indeks FBM ACE turun 15.77 mata kepada 5,773.28.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 7.58 mata kepada 955.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.94 mata kepada 195.85, dan Indeks Perladangan berkurangan 45.66 mata kepada 6,982.72.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan mencatat 38.20 mata kepada 17,454.73.

Bagi minggu yang baru berakhir, jumlah dagangan meningkat kepada 23.5 bilion unit bernilai RM16.91 bilion berbanding 22.37 bilion unit bernilai RM17.69 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 12.71 bilion saham bernilai RM14.66 bilion daripada 12.93 bilion saham bernilai RM15.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 6.36 bilion unit bernilai RM805.4 juta berbanding 5.13 bilion unit bernilai RM702.50 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 4.39 bilion saham bernilai RM1.45 bilion berbanding 4.30 bilion saham bernilai RM1.49 bilion sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan