AM

PENGENDALI MEDIA SOSIAL RASMI KERAJAAN PERLU CAKNA PERUBAHAN CORAK PEMIKIRAN, PENERIMAAN MESEJ OLEH RAKYAT

26/06/2024 07:47 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Pasukan media sosial rasmi kerajaan perlu arif tentang pengurusan akaun yang cekap, berkesan dan selamat, kata Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Beliau berkata ia termasuk pembangunan polisi, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh, serta pemahaman mengenai keselamatan siber dan pengurusan krisis.

Dalam ucapan pembukaan di Seminar Media Sosial untuk Kementerian dan Agensi Kerajaan 2024 (SOCIALGOV) yang julung kali diadakan, Mohd Ali berkata pengendali akaun media sosial rasmi kerajaan perlu didedahkan dengan pelbagai pengetahuan digital supaya mesej kerajaan dapat diterima baik oleh rakyat.

Menurutnya seminar itu juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap undang-undang dan peraturan yang terpakai di dunia digital antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebagai pengamal media, pasukan media sosial rasmi juga perlu mengetahui tentang Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia 2022 yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan," katanya di sini hari ini.

Tegas Mohd Ali sebagai pengguna platform media sosial yang menguruskan akaun rasmi kerajaan, pasukan media sosial harus memahami kepentingan standard komuniti serta terma dan syarat yang dibangunkan oleh penyedia platform bagi melindungi hak mereka dan orang lain.

"Namun, mereka juga perlu tahu bahawa peraturan yang dibangunkan adalah daripada perspektif penyedia platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak tertakluk kepada nilai-nilai murni, norma masyarakat serta undang-undang negara ini," katanya.

Beliau berkata MCMC mengakui pengendalian akaun media sosial kerajaan mempunyai cabaran tersendiri yang melibatkan pengurusan risiko, memastikan ketepatan maklumat dan penyederhanaan kandungan secara profesional.

Selain itu, katanya pengurusan pasukan media sosial yang cekap termasuk memantau tingkah laku profesional dan operasi dalaman juga satu cabaran.

Menurut Mohd Ali, kepentingan media sosial kepada badan kerajaan jika dibandingkan dengan kaedah media tradisional ialah meliberalisasikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat yang membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat untuk menjawab soalan dan menangani kebimbangan mereka serta mengumpul maklum balas dalam masa nyata (real time).

Selain itu, beliau berkata media sosial adalah sebahagian daripada perkhidmatan elektronik kerajaan (e-government services) dan satu-satunya platform yang membolehkan badan kerajaan di seluruh negara mempertingkatkan perhubungan, ketelusan, perkongsian pandangan dan aktiviti sivik bersama rakyat secara aktif.

"Kepercayaan rakyat terhadap akaun media sosial kerajaan juga amat penting supaya ia dijadikan sumber maklumat yang dipercayai dalam penyebaran maklumat yang berkaitan dengan badan kerajaan tersebut, terutama dalam situasi maklumat kritikal perlu dihebahkan kepada golongan sasaran," katanya.

Mohd Ali berkata platform media sosial adalah medium baharu yang menjadi sebahagian daripada saluran komunikasi kerajaan dalam menyalurkan maklumat dan pengumuman terkini kepada rakyat.

"Hasil pencarian MCMC mendapati bahawa daripada 27 kementerian, 22 mempunyai akaun rasmi atau blue tick account di Facebook, 14 mempunyai akaun rasmi Instagram dan setakat ini tiada akaun rasmi di platform TikTok yang direkodkan," katanya.

Dalam kalangan agensi kerajaan pula, Mohd Ali berkata 48 mempunyai akaun rasmi di Facebook berbanding 85 tidak rasmi, 36 akaun rasmi di Instagram berbanding 76 tidak rasmi dan hanya tiga akaun rasmi di TikTok berbanding 64 akaun tidak rasmi.

Memetik Kajian Digital Report 2024 oleh We Are Social dan Meltwater, Mohd Ali berkata 28.68 juta pengguna di Malaysia iaitu 83 peratus daripada penduduk negara ini, aktif di media sosial dengan masa yang dihabiskan dua jam 48 minit setiap hari.

Dari segi platform media sosial pula 90.7 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 16 hingga 64 tahun menggunakan WhatsApp, diikuti Facebook (84.9 peratus), Instagram ( 77 peratus) dan TikTok (68.8 peratus). 

Beliau berkata penggunaan platform media sosial ternyata bukan hanya untuk hiburan atau kegiatan bersosial dalam talian, malah sebagai sumber maklumat dengan 44.4 peratus menggunakan platform tersebut untuk mendapatkan berita terkini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan