AM

SUNWAY PYRAMID ICE TUAN RUMAH SKATE MALAYSIA KE-16

27/06/2024 11:49 PM

PETALING JAYA, 27 Jun  (Bernama) -- Sunway Pyramid Ice, gelanggang luncur ais terkenal menjadi tuan rumah kepada program Skate Malaysia edisi ke-16 dan siri kejohanan Ice Skating Institute Asia (ISIAsia) ketiga yang bermula semalam hingga 30 Jun ini.

Penolong Pengurus Besar Sunway Pyramid Ice, Sunway Square dan Sunway Giza  Albert Cheok berkata program Skate Malaysia tahun ini telah dilanjutkan kepada lima hari berbanding empat hari sebelum ini susulan sambutan yang menggalakkan. 

“Kami dengan bangga mengumumkan bahawa Skate Malaysia tahun ini mencatat kejayaan baharu dengan 600 penyertaan dari Malaysia, Indonesia, China, Thailand, Kuwait, Qatar, Filipina dan Amerika Syarikat untuk bertanding dalam 1,700 acara,” katanya pada majlis pembukaan program itu di Sunway Pyramid di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng dan Pengarah Pertandingan  Skate Malaysia merangkap Presiden ISIAsia Harry Janto Leo. 

Upacara pembukaan Skate Malaysia dimulakan dengan perarakan peserta yang mengibarkan bendera negara masing-masing diikuti persembahan oleh juara luncur ais kebangsaan Fang Ze Zeng.

Menurut Cheok, penganjuran Skate Malaysia membuktikan komitmen Sunway Malls dalam membimbing bakal atlet serta meraikan bakat serta kebolehan mereka. 

“Dalam dunia hari ini, ramai melihat persekitaran kita sebagai arena persaingan bagi memupuk bakat, produk dan pencapaian yang lebih baik. 

“Sebagai pusat beli-belah yang terletak di tengah-tengah komuniti, kami berbangga menyediakan platform yang dapat menyuburkan semangat daya tahan seperti itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan