DUNIA

PILIHAN RAYA IRAN: SAINGAN SENGIT ANTARA REFORMIS, KONSERVATIF

29/06/2024 03:02 PM

TEHRAN, 29 Jun (Bernama-dpa) -- Keputusan tidak rasmi pilihan raya presiden Iran menunjukkan persaingan sengit antara calon reformis Masoud Pezeshkian, dan calon konservatif Saeed Jalili.

Dengan kira-kira 12 juta undi yang selesai dikira setakat ini, bekas menteri kesihatan Pezeshkian menerima sekitar 5 juta undi.

Jalili, bekas perunding dalam rundingan nuklear dengan Barat, memperoleh 4.9 juta undi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan suruhanjaya pilihan raya Iran.

Speaker parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf berada di tempat ketiga dengan 1.6 juta undi, manakala ulama Mostafa Pourmohammadi hanya memperoleh sekitar 95,000 undi.

Seramai 61 juta pengundi di Iran layak mengundi bagi memilih pengganti Ebrahim Raisi yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada Mei lalu.

Pusat pengundian yang dijadualkan ditutup pada 6 petang Jumaat, dilanjutkan sehingga tengah malam.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan