AM

RISDA CADANG TUBUH TABUNG PERKASA KOMUNITI PEKEBUN KECIL GETAH

29/06/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mencadangkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) penubuhan tabung khas bagi memperkasakan kemakmuran lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata cadangan tersebut merupakan langkah strategik dalam mendepani pelbagai isu antaranya pemilikan tanah yang terhad, kos operasi tinggi, perubahan iklim, ketidakstabilan harga pasaran dan kekurangan tenaga kerja yang memberi kesan kepada usaha kerajaan meningkatkan produktiviti getah negara.

“Cadangan penubuhan tabung khas ini akan diperhalusi Ahli Pihak Berkuasa RISDA dengan memastikan keuntungan tahunan dijana syarikat di bawah Kumpulan RISDA Holdings yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pemegang saham melalui 30 peratus dividen malah turut akan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti pekebun kecil getah,” menurut kenyataan hari ini.

Beliau berkata penubuhan tabung yang bakal direalisasikan itu juga akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup pekebun kecil selaras dengan aspirasi Desa MADANI seperti dihasratkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Pada tahun ini, RISDA diberikan kepercayaan dalam memperkasa komuniti pekebun kecil getah melalui Belanjawan MADANI melibatkan peruntukan RM676 juta dengan RM411 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil getah manakala RM265 juta bagi Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Mengenai lawatan kerja ke projek usahawan bimbingan Risda di Sik, Kedah pada Jumaat lepas, Manndzri telah melawat usahawan bidang kraftangan Mohd Rizal Musfata, 47, yang memulakan perniagaannya pada 2018.

Mohd Rizal merupakan pekebun kecil RISDA yang menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM10,000 pada 2021 dan RM5,000 pada 2022 serta mengikuti kursus pembangunan keusahawanan melalui bidang pelabelan yang membantu perniagaannya dari sudut peningkatan kualiti produk selain membina jaringan pasaran yang lebih meluas.

Dalam kenyataan sama, Mohd Rizal merakamkan ucapan pengharagaan kepada KKDW dan RISDA atas bantuan dalam menaik taraf perniagaannya sehingga mampu meraih pendapatan keseluruhan lebih RM60,000 pada tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan