AM

DEWAN RAKYAT RAKAM UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA DR SYED HUSIN ALI

02/07/2024 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Negara Dr Syed Husin Ali yang meninggal dunia pada Sabtu lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menzahirkan ucapan itu sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pagi ini. 

Johari berkata Syed Husin, 88, pernah menjadi Ahli Dewan Negara dari 2009 hingga 2015.

“Allahyarham terkenal sebagai seorang tokoh politik yang gigih memperjuangkan isu keadilan sosial dan tokoh akademik terkemuka, perintis bidang sosiologi di negara ini dan merupakan antara pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada Allahyarham serta ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh serta beriman. Kepada yang beragama Islam, saya meminta kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Dr Syed Husin Ali, manakala kepada yang bukan beragama Islam, diminta bertafakur selama seminit," katanya.

Syed Husin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR meninggal dunia di Hospital Selayang.

 -- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan