POLITIK

CIKGU JOOHARI LANCAR ILTIZAM, GARIS EMPAT TERAS BANGUNKAN SG BAKAP

30/06/2024 01:09 AM

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin menggariskan empat teras utama dalam iltizamnya atau manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang dilancarkan malam ini.

Empat teras yang terkandung dalam iltizam itu merupakan simbolik daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

Joohari yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu ketika membentangkan iltizam berkenaan berkata di bawah teras P - ‘Prasarana dan Progresif’, beliau mahu memastikan kemudahan awam dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan penduduk melalui beberapa projek infrastruktur dan lalu lintas.

“Saya juga akan memperjuangkan Sungai Bakap sebagai pusat pengeluaran produk mikro halal serta naik taraf fasiliti di Hospital Sungai Bakap,” katanya ketika melancarkan iltizam berkenaan pada Ceramah Mega Perpaduan di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengarah PRK DUN Sungai Bakap bagi PH Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Joohari, 60, yang mesra dipanggil Cikgu Joo berkata beliau akan memastikan projek infrastruktur air dan lalu lintas seperti
Projek Loji Rawatan Air Sungai Kerian, Projek Air Perak-Pulau Pinang serta pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara disempurnakan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi penduduk di Sungai Bakap.

Menerusi teras A - ‘Akhlak, Akademik Anak Muda’ pula, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu berazam untuk meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda antaranya menerusi pendidikan percuma Tuisyen Rakyat untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, mengembangkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (Al) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) dan Digital Penang ke Sungai Bakap.

Di bawah teras D - Damai, Joohari berkata keutamaan akan diberikan kepada soal kesejahteraan rakyat dengan mewujudkan suasana harmoni dan mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui pelbagai program inklusif.

Hal ini termasuk menoktahkan kemiskinan tegar, mewujudkan Taska Perpaduan dan Tadika Islam, menyelesaikan isu kewarganegaraan warga emas dan kanak-kanak tempatan serta pengimarahan masjid dan surau serta pemuliharaan rumah ibadat.

Menerusi teras U - Untuk Semua, beliau berhasrat memberi layanan yang adil kepada seluruh masyarakat dengan memfokuskan kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita serta pengembangan pendidikan kanak-kanak, warga emas tanpa meminggirkan fahaman politik, budaya dan agama. 

“Iltizam ini adalah hasil maklum balas yang saya terima daripada pengundi selepas seminggu berkempen di lapan PDM (pusat daerah mengundi) selain hasil kajian dijalankan saya dan pasukan jentera kempen,” katanya.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan