AM

PERLIS BOLEH JADI HAB PERPADUAN ZON UTARA - AARON

30/06/2024 04:51 PM

KANGAR, 30 Jun (Bernama) -- Perlis boleh menjadi hab perpaduan bagi zon utara apabila siapnya  Kompleks Perpaduan Negeri Perlis bernilai RM16.8 juta yang dapat menyediakan pelbagai program perpaduan kepada komuniti.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata projek pembinaan kompleks berkenaan telah bermula pada Februari lepas dan dijangka siap pada Disember tahun depan di atas tanah seluas 2.8 hektar di Mukim Seriab.

"Kompleks Perpaduan Perlis ini akan menempatkan Pejabat Perpaduan Perlis, dewan serba guna, TABIKA dan TASKA Perpaduan, bilik operasi Pusat Rukun Tetangga, bilik operasi mediator komuniti dan lain-lain kemudahan awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2024 peringkat negeri Perlis yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini hari ini.

Menurut Aaron kompleks perpaduan pertama menempatkan ruang Jentera Perpaduan secara bersepadu itu bakal menjadi contoh bagi pembinaan kompleks perpaduan lain yang dirancang di seluruh negara.

Sementara itu beliau berkata pihaknya menyokong penuh usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis untuk mewujudkan Pintu Gerbang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh KRT negeri itu.

"Pintu Gerbang KRT ini akan menjadi mercu tanda sebagai pengenalan kepada kewujudan KRT di kawasan selain ia juga akan menjadi sebahagian promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang mengetengahkan kehidupan komuniti setempat," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan