AM

MENTERI LUAR MALAYSIA ADAKAN LAWATAN RASMI SULUNG KE FILIPINA PADA 1 JULAI

30/06/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Filipina pada 1 Julai.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan lawatan itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik berkenaan yang telah terjalin selama lebih enam dekad.

Semasa lawatannya, Mohamad akan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat beliau, Enrique A. Manalo, bagi menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Filipina yang merangkumi pelbagai bidang yang bermanfaat bersama.

Kedua-dua menteri juga akan bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Selain pertemuan dua hala, Mohamad juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos, Jr.

"Memandangkan Malaysia dan Republik Filipina menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun ini, lawatan ini amat signifikan bagi meningkatkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, baik dalam konteks hubungan dua hala mahupun ASEAN," kata Wisma Putra.

Pada tahun 2023, Filipina merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai US$7.92 bilion (RM36.12 bilion).

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan