AM

UNIRAZAK, JOBSTREET BY SEEK BERKOLABORASI JAYAKAN PAMERAN KERJAYA

01/07/2024 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Buat julung kali Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dengan jayanya melaksanakan Pameran Kerjaya berskala besar pada 28-29 Jun lepas di The Intermark di sini dengan kerjasama JobStreet By SEEK.

Acara ini telah menarik sebilangan besar pelajar dan pencari kerja yang berminat untuk berhubung dengan bakal majikan.

Pameran itu menampilkan lebih 30 syarikat terkemuka, termasuk Bank Islam, KPMG, Fraser & Neave (F&N), CPA Australia, Great Eastern Takaful Berhad, dan RHB Bank, menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan dan latihan.

Pengarah Students Experience di UNIRAZAK Muhamad Safwan Zulkifli berkata UNIRAZAK menyediakan platform dinamik untuk peserta meneroka prospek kerjaya dan melibatkan diri secara langsung dengan organisasi terkemuka melalui sesi rangkaian dan temu duga secara terus.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan JobStreet By SEEK Malaysia untuk pameran yang berjaya ini. Rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan pada pelbagai peringkat dalam kerjaya mereka hadir, dan kami berharap mereka mendapat manfaat daripada sesi rangkaian dan peluang yang ada.

“Acara ini menampilkan platform yang hebat untuk pencari kerja dan profesional bagi meneroka laluan kerjaya baharu dan menunjukkan komitmen Malaysia untuk memupuk tenaga kerja mahir dan dinamik,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Pameran itu termasuk bengkel dan sesi kaunseling kerjaya, melengkapkan peserta dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi pasaran kerja dengan berkesan.

Kemuncak acara itu ialah cabutan bertuah yang menampilkan hadiah-hadiah seperti iPad Apple generasi ke-10, menambahkan keterujaan dan kemeriahan acara.

Melihat kepada pasaran pekerjaan dinamik Malaysia dan peningkatan peluang pekerjaan di JobStreet By SEEK, kerjasama yang ditampilkan bertujuan merapatkan jurang antara bakat dan peluang.

Ia menyerlahkan lagi kepentingan untuk interaksi secara peribadi dalam kalangan ramai pencari kerja Malaysia, yang menggariskan kepentingan strategik perkongsian ini.

UNIRAZAK turut mengumumkan panganjuran Hari Terbuka dan Hari Pendaftaran pada 6 Julai di Kampus Induk UNIRAZAK, menawarkan bakal pelajar dan keluarga mereka peluang untuk meneroka kampus, melibatkan diri dengan fakulti, dan mempelajari tentang pelbagai program yang ada.

Untuk maklumat lanjut, hubungi pasukan Jualan dan Pemasaran di +6011-5413 6141 / +603-2730 7000 atau e-mel info@unirazak.edu.my / crm@unirazak.edu.my. Maklumat lanjut juga boleh diperoleh di www.unirazak.edu.my.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan