JENAYAH & MAHKAMAH

TPR POSITIF COVID-19, PROSIDING BELA DIRI DR ROLAND DITANGGUH KE 23 SEPT

01/07/2024 02:25 PM

SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- Prosiding bela diri pengasas The KL Sky Clinic Dr Roland Victor yang didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin COVID-19, yang dijadualkan selama dua hari bermula hari ini, ditangguhkan ke 23 dan 24 Sept oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Ahmad Fuad Othman melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Shazwani Abdullah memaklumkan bahawa TPR yang mengendalikan kes itu disahkan positif COVID-19.

“Hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri (Dr Roland), namun TPR Nurul Farahin Sasarudin disahkan positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin bermula 29 Jun hingga 3 Julai.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya suatu tarikh bicara baharu ditetapkan,” kata Nor Shazwani. Peguam Alicia Nicholson yang mewakili Dr Roland, 42, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 21 Mac lepas, Ahmad Fuad memerintahkan Dr Roland membela diri atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 5 Julai 2021, Dr Roland didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan laman profil Facebook "The KL Sky Clinic" pada 10.30 malam, 7 Feb 2021. 

Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan