DUNIA

BURSA MALAYSIA BERCAMPUR-CAMPUR PADA TENGAH HARI BERIKUTAN SENTIMEN BERHATI-HATI

04/07/2024 01:59 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi walaupun suasana pasaran terus bercampur-campur memandangkan sentimen bertukar berhati-hati, dalam keadaan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya meningkat.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.14 peratus atau 2.39 mata kepada 1,617.71 daripada 1,615.32 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras yang dibuka 0.64 mata lebih kukuh kepada 1,615.96, bergerak antara 1,614.71 dan 1,619.75 sepanjang sesi pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 569 kepada 470 manakala 469 kaunter tidak berubah, 895 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 3.06 bilion unit bernilai RM2.01 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng yakin bursa tempatan mungkin telah muncul daripada fasa konsolidasinya.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan meningkat semula dan berada dalam julat 1,615-1,630 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM10.08, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.22 dan CIMB menambah tiga sen kepada RM6.99 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.05 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.31.

Bagi saham aktif, Ocean Fresh melonjak 53 sen kepada 81 sen, Dataprep naik 2.5 sen kepada 19.5 sen, dan SNS Network meningkat setengah sen kepada 88.5 sen dan Appasia tidak berubah pada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.56 mata kepada 12,482.29, Indeks FBMT 100 menokok 23.97 mata kepada 12,052.56 dan Indeks FBM Emas Syariah naik18.55 mata kepada 12,845.16.

Indeks FBM 70 meraih 59.25 mata kepada 18,408.90 tetapi Indeks FBM ACE susut 27.19 mata kepada 5,947.17.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.15 mata kepada 989.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.54 mata kepada 199.65, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 29.02 mata kepada 17,641.92.

Sementara itu, Indeks Perladangan susut 5.46 mata kepada 7,020.57.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan