AM

PRK NENGGIRI : POLIS KELANTAN LAKUKAN PERSIAPAN TELITI

02/07/2024 04:06 PM

MACHANG, 2 Julai (Bernama) -- Polis Kelantan membuat persiapan rapi daripada pelbagai sudut bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya turut bekerjasama dengan agensi kerajaan serta parti politik bagi melancarkan perjalanan proses pilihan raya berkenaan, dan tidak mahu timbul sebarang isu yang boleh menimbulkan masalah pada PRK nanti.

Beliau berkata berdasarkan kepada pengalaman lepas, PRK ini dijangka menjadi tumpuan dengan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang terlibat, sekali gus memerlukan polis meningkatkan jumlah anggota bertugas semasa tempoh berkenaan.

“Saya juga telah meminta Ketua Polis Daerah Gua Musang menyediakan bilik gerakan polis bagi menghadapi PRK itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Taman Angkat Amanita Peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Kompleks Perpaduan Daerah Machang di sini, hari ini.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan