JENAYAH & MAHKAMAH

KAPAL KOREK DARI CHINA DITAHAN MILIKI GAS LPG, TIADA DOKUMEN SAH

02/07/2024 08:51 PM

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah kapal korek, selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 14.8 batu nautika barat laut Pulau Tanjung Hantu, dekat Lumut, 3.10 petang semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata hasil pemeriksaan kapal korek pasir Chuan Hong 68 yang didaftarkan di Fuzhou, China itu, menemukan 60 tong gas petroleum cecair (LPG) yang dianggarkan bernilai RM9,000.

“Kita telah periksa barang kawalan ini, tidak mempunyai dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kapal ini telah dibawa ke lokasi bersauh dan dikeluarkan perintah tahanan dengan kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shasil Shukri berkata pemeriksaan juga mendapati, kapal korek itu mempunyai seorang nakhoda serta 47 kru disyaki 20 warga China, 26 warga Bangladesh dan seorang kru warga tempatan berusia antara 21 dan 68 tahun.

Beliau berkata kapal tersebut didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru turut tidak memiliki dokumen sebagai kru kapal terbabit.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan