AM

PLUS, PETRONAS DAGANGAN BERHAD JALIN KERJASAMA BANGUN STESEN SUPER HIBRID PERTAMA DI LEBUH RAYA

02/07/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PETRONAS Dagangan) menjalin kerjasama bagi membangunkan stesen hibrid komersial pertama di lebuh raya negara dengan Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi perintis.

Menerusi kenyataan hari ini, PLUS memaklumkan kerjasama itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara pihaknya dan PETRONAS Dagangan baru-baru ini. 

Kerjasama itu bakal menyaksikan pembukaan Stesen Super Hibrid pertama yang dilihat akan menjadi penanda aras perkhidmatan lebuh raya di Malaysia selain memberi lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna. 

Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata pembangunan Stesen Super Hibrid itu akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

"Penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambah baik pengalaman pengguna lebuh raya di samping memberi peluang mereka menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan," katanya. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Azrul Osman Rani pula berkata setiap titik sentuh Stesen Super Hibrid itu akan direka bentuk dengan mengambil kira trend serta keperluan pelanggan dan pihaknya yakin kerjasama tersebut antara lain dapat meningkatkan keselesaan yang mampu mengubah pengalaman pengguna lebuh raya.  

Stesen Super Hibrid itu bakal menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuk stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV) selain menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa. 

Pembangunan stesen itu juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui selain akan menjadi antara mercu tanda baharu di lebuh raya.

Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti itu dan dengan keluasan lebih 30,000 kaki persegi, ia menyasarkan pembangunan untuk menyediakan fasiliti yang lengkap serta selesa. 

-- BERNAMA 



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan