EKONOMI

2,585 UNIT PENGECAS KENDERAAN ELEKTRIK DIPASANG DI SELURUH NEGARA SETAKAT 25 JUN 2024 -- MITI

04/07/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Sejumlah 2,585 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara setakat 25 Jun, 2024, dengan taburan pengecas EV meliputi kesemua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), jumlah itu merekodkan peningkatan sebanyak 12.5 peratus daripada suku pertama 2024.

“Daripada jumlah ini, 610 unit adalah jenis DC (Direct current), dan baki 1,975 unit adalah jenis AC (Alternating current),” kata MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

MITI berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan jumlah stesen pengecas EV yang telah berjaya dipasang di seluruh negara dan adakah ia mampu mencapai sasaran 10,000 titik pengecasan menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

Selangor mencatatkan jumlah pengecas EV tertinggi sebanyak 867, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (675) dan Pulau Pinang (277).

MITI berkata jumlah pengecas ini mencukupi untuk menampung kegunaan kira-kira 17,000 unit kenderaan Battery Electric Vehicle (BEV) dan kira- kira 11,000 unit Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang berdaftar atas jalan sehingga kini.

“Tambahan pula, pengguna EV dan PHEV dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengecas EV yang disediakan untuk kegunaan awam dengan memasang kemudahan pengecas EV di rumah masing-masing,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan