SUKAN

BAM SEDIA BANTU JIN WEI - MICHELLE

03/07/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia memberikan bantuan diperlukan oleh pemain profesional wanita negara Goh Jin Wei dalam persiapannya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Pengarah Pentadbiran Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai berkata Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky sudah bertemu dengan pemain di rangking ke-33 dunia itu minggu lepas bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Kita pasti bantu Jin Wei. Tentang siapa dan bagaimana caranya, kejurulatihan dan sebagainya, Rexy akan bincang sebab dia adalah pengarah kejurulatihan kami. Secara teknikal, dia akan bincang dengan Jin Wei dan kita tidak ada masalah untuk bantu,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan Jin Wei tidak akan ditemani jurulatihnya, Nova Armada di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selain akan menerima bimbingan daripada Rexy. 

Sementara itu, Michelle memaklumkan BAM hanya menerima lima kuota kad akreditasi yang akan digunakan Rexy, Tan Bin Shen (jurulatih beregu lelaki), Hoon Thien How (jurulatih beregu wanita), Nova Widianto (jurulatih beregu campuran) dan Wong Tat Meng (jurulatih perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia). 

“Saya rasa kita perlu lihat (siapa yang akan berada di sisi Jin Wei di Paris) tapi jika saya tak salah, sesi perseorangan wanita bersama perseorangan lelaki. Jadi tiada jadual (bertindih) tapi nanti mereka (boleh bincang) di Paris,” katanya. 

Terdahulu, pemain badminton negara yang sedang menjalani latihan simulasi Sukan Olimpik Paris 2024 menerima lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalan CDM Datuk Nicol David di ABM. 

Nicol yakin Jin Wei dapat beraksi cemerlang dengan sokongan semua pihak terlibat selain memaklumkan keputusan jurulatih kepada pemain berkenaan akan dibuat pihak berkepentingan, serta percaya Institut Sukan Negara (ISN) akan memberi perkhidmatan terbaik untuk membantu atlet negara di temasya empat tahun sekali itu. 

“Kita mempunyai pasukan ISN yang sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Di Sukan Olimpik juga akan ada pasukan perubatan yang terlibat, ambulans disediakan kerana itu adalah standard yang ditawarkan di temasya Olimpik,” katanya.

Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyemak semula protokol tindak balas kecemasannya susulan kematian pemain remaja China, Zhang Zhi Jie selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan