AM

FAHMI SANTUNI JURUKAMERA MALAYSIA GAZETTE YANG TERLIBAT DALAM NAHAS KETIKA BERTUGAS

03/07/2024 04:41 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada jurukamera Malaysia Gazette yang terlibat dalam nahas jalan raya ketika bertugas bagi membantu meringankan beban beliau.

Mohd Airulrezal Amirudin, 42, terlibat dalam nahas itu pada 24 Jun lepas ketika mengikuti operasi bersepadu agensi penguat kuasa yang menyebabkan tulang di bahu dan belakang beliau patah serta dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk kembali bertugas.

Ketika ditemui selepas meluangkan masa lebih 15 minit menziarahi Mohd Airulrezal, Fahmi berkata beliau kesal dengan kejadian itu kerana nasib pengamal media termasuk jurufoto sentiasa dekat di hatinya.

Fahmi, yang turut ditanya sama ada agensi penguat kuasa perlu mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan pengamal media lebih terjamin sewaktu mengikuti operasi, berkata beliau akan mengetengahkan perkara tersebut sekiranya itu yang diperlukan.

Mohd Airulrezal pula berkata beliau kini berdepan kesukaran menjalani kehidupan seharian dan memerlukan bantuan isterinya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi itu Arul Rajoo Durar Raj.

Mohd Airulrezal pernah bertugas di Bernama dari 2009 hingga 2019, di Astro Awani dari 2019 hingga 2023 sebelum berkhidmat di Malaysia Gazette pada Jun 2023.

Beliau adalah antara 111 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenal pada April tahun lepas.

Selain wang tunai, beliau menerima sumbangan berupa barangan daripada Pakaian Hari-Hari dan AEON Big.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih berkhidmat mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan