AM

GARIS PANDUAN TADBIR URUS, ETIKA AI DIEDARKAN DALAM MASA TERDEKAT - GOBIND

03/07/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mengedarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara kepada masyarakat umum dalam masa terdekat.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata garis panduan itu sedang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menggalakkan penggunaan AI secara selamat, dipercayai dan beretika di Malaysia.

Beliau berkata demikian pada Sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam merangka undang-undang bagi mengawal selia penggunaan AI secara meluas dalam negara.

Mengulas lanjut, Gobind berkata melihat kepada perkembangan pesat teknologi AI, kerajaan menyokong dan menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi berkenaan.

“Kerajaan tidak mempunyai sebarang syarat khusus untuk pembangunan AI sama ada melalui teknologi AI sumber terbuka atau model tertutup seperti ChatGPT, Copilot dan Gemini bagi menggalakkan perkembangan teknologi dan pembangunan kemahiran dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA), Gobind berkata PSPSA 2021-2025 telah mencapai 67.71 peratus, manakala Teras 7 iaitu adaptasi kemunculan teknologi baharu relevan yang turut merangkumi AI telah mencapai 47.33 peratus.

“Tumpuan dua tahun berbaki sehingga 2025 dan merentasi 2025, Inisiatif AI akan menjadi salah satu teknologi yang digunakan dalam mendasari perkhidmatan pintar kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan