DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP KUKUH, INDEKS KOMPOSIT NAIK 1.08 PERATUS

03/07/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini, disokong oleh belian berterusan dalam persekitaran sentimen global yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 17.36 mata atau 1.08 peratus kepada 1,615.32 daripada paras penutup 1,597.96 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.64 mata kepada 1,500.60.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 902 berbanding 326, dengan 453 kaunter tidak berubah, 724 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.47 bilion unit bernilai RM4.0 bilion daripada 5.39 bilion unit bernilai RM3.99 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama juga ditutup lebih tinggi, disokong oleh petunjuk positif dari Wall Street.

Beliau berkata komen oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell mengembalikan harapan bahawa bank pusat Amerika Syarikat (AS) itu mungkin akan menurunkan kadar faedah pada akhir tahun ini.

Melangkah ke depan, beliau menjangkakan sentimen pelabur yang positif akan berpanjangan, mencatatkan volum dagangan harian meningkat, justeru menunjukkan selera pasaran yang kukuh.

“Bagaimanpaun, kami menjangkakan aktiviti pengambilan untung akan berlaku. FBM KLCI diunjur diniagakan dalam julat 1,600-1,620 minggu ini dengan paras rintangan serta-merta pada 1,620 dan paras sokongan pada 1,580,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi pasaran hari ini diterajui oleh sektor pembinaan dan utiliti, kedua-duanya mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan pengkomputeran awan.

“Prospek optimistik bagi sektor pembinaan disokong lagi oleh projek infrastruktur domestik, serta peningkatan dalam pelancaran projek daripada sektor swasta merentas segmen kediaman, komersial dan industri,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masin naik tiga sen kepada RM10.02 and RM6.33, Tenaga Nasional menambah 18 sen kepada RM14.18, Public Bank melonjak satu sen kepada RM4.05 dan CIMB meningkat lapan sen kepada RM6.96.

Dalam kalangan kaunter cergas, Go Hub meningkat 60 sen kepada 95 sen, Aimflex naik 2.5 sen kepada 20 sen, WCT melonjak 9.5 sen to 98.5 sen manakala UUE melonjak satu sen kepada 70.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 147.99 mata kepada 12,460.73, Indeks FBMT 100 naik 144.26 mata kepada 12,028.58, Indeks FBM Emas Shariah menokok 177.44 mata kepada 12,826.61, Indeks FBM 70 meningkat 274.93 mata kepada 18,349.65 dan Indeks FBM ACE menambah 88.34 mata kepada 5,974.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 66.72 mata kepada 17,612.90, Indeks Tenaga menambah 7.95 mata kepada 988.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.97 mara kepada 199.11 dan Indeks Perladangan melonjak 40.16 mata kepada 7,026.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.97 bilion unit bernilai RM3.28 bilion berbanding 2.67 bilion unit bernilai RM3.24 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran pula susut kepada 1.10 bilion unit bernilai RM156.70 juta daripada 1.58 bilion unit bernilai RM228.51 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.39 bilion saham bernilai RM554.84 juta daripada 1.14 bilion juta saham bernilai RM516.15 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 402.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (727.97 juta), pembinaan (463.0 juta), teknologi (414.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (74.58 juta), hartanah (325.41 juta), perladangan (41.28 juta), REITs (14.28 juta), dana tertutup (88,900), tenaga (176.78 juta), penjagaan kesihatan (71.52 juta), telekomunikasi dan media (55.10 juta), pengangkutan dan logistik (63.61 juta), utiliti (137.08 juta), dan amanah perniagaan (782,90).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 8 Julai, 2024, sempena cuti umum sambutan Awal Muharam dan operasi akan disambung semula pada Selasa, 9 Julai. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan