AM

KERUGIAN AKIBAT SCAM BERJUMLAH RM203.33 JUTA SETAKAT MEI 2024 - PM ANWAR

03/07/2024 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan mangsa scam (penipuan) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta setakat Mei 2024. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejak penubuhannya pada 12 Oktober 2022 sehingga Mei 2024, jumlah keseluruhan panggilan yang diterima daripada orang ramai adalah sebanyak 95,094. 

“Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

“Manakala, 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sejauh mana keberkesanan NSRC dalam menangani jenayah penipuan dalam talian dan mengesan modus operandi 'scammer'.

Tambahnya, NSRC dan SKMM juga telah mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang digunakan oleh scammers. 

Setakat Mei 2024, sebanyak 131 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 112 nombor talian yang meragukan telah disekat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan