JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN RAMPAS DIESEL, DUA TANGKI SKID BERNILAI LEBIH RM100,000

04/07/2024 09:47 AM

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sejumlah 25,000 liter minyak diesel dan dua tangki skid bernilai RM110,750 dalam serbuan di Kampung Mengabang Kapal, Kuala Nerus, dekat sini, semalam. 

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata serbuan oleh lapan anggota dan pegawai penguatkuasa KPDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2.30 petang di tapak projek kawalan hakisan pantai itu adalah hasil risikan pihaknya selama seminggu. 

"Pemeriksaan mendapati pihak syarikat kontraktor terbabit gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran daripada Pegawai Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi kejadian. 

"Dianggarkan terdapat kira-kira 25,000 liter minyak diesel dalam dua buah tangki skid di lokasi. Turut ditahan seorang penyelia tapak projek iaitu lelaki tempatan berusia 25 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. 

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak dan menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan subsidi.

"Masyarakat disaran menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi," katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan