AM

PAMB, UTAR METERAI MOU BANTU PELAJAR MULAKAN KERJAYA

04/07/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu bakal graduan pengajian perniagaan dan kewangan memulakan perjalanan kerjaya mereka.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PAMB Lim Eng Seong dan Presiden UTAR Prof Datuk  Dr Ewe Hong Tat.

PAMB dalam kenyataan menyebut menerusi MoU pertama bagi PAMB dengan universiti tempatan itu, ia akan memperkenalkan program latihan yang disesuaikan dan disediakan PAMB untuk pelajar UTAR.

“Program ini termasuk panduan temu duga, penyediaan vitae kurikulum dan kemahiran pembentangan, sekali gus memberikan kelebihan berdaya saing kepada pelajar dalam pasaran kerja.

“Selain itu, perkongsian ini juga akan memberi peluang latihan industri kepada pelajar di pejabat korporat PAMB dan agensi insurannya di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Lim dalam kenyataan sama berkata MoU itu menandakan komitmen PAMB untuk memperkasakan pelajar dengan alat yang mereka perlukan untuk melangkah ke dunia luar dengan yakin dan membina kerjaya mereka.

“Tahun ini kami meraikan ulang tahun ke-100 di Malaysia, maka sewajarnya kami memandang ke masa hadapan bagi memberi inspirasi kepada generasi akan datang apabila mereka memasuki tenaga kerja,” katanya.

Sementara itu Ewe berkata kepentingan kerjasama industri-akademik tidak boleh dipertikaikan dan ia adalah hubungan simbiotik dengan ahli akademik menyediakan kepakaran, keupayaan penyelidikan dan kumpulan bakat, manakala industri menawarkan pandangan praktikal, cabaran dan peluang untuk penerapan.

“Bersama-sama kita membentuk ekosistem teguh yang memupuk inovasi, menangani keperluan masyarakat dan memacu kemajuan ekonomi,” katanya.

Kira-kira 40 pelajar dari Kampus UTAR Kampar hadir menyaksikan acara itu dan mereka turut berpeluang melibatkan diri dalam program Pendidikan Kewangan Belia PAMB yang menggalakkan celik kewangan dalam kalangan belia.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan