DUNIA

PAKISTAN UMUM BIASISWA UNTUK PELAJAR PERUBATAN PALESTIN DARI GAZA

05/07/2024 11:42 AM

KARACHI (Pakistan), 5 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pakistan akan menyediakan biasiswa untuk pelajar-pelajar perubatan Palestin dari Gaza bagi melanjutkan pengajian mereka di negara itu, lapor Agensi Anadolu memetik pengumuman Kementerian Luar pada Khamis.

Keputusan ini dibuat atas arahan Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar oleh Majlis Perubatan dan Pergigian Pakistan (PMDC), menurut jurucakap Kementerian Luar Mumtaz Zahra Baloch dalam satu sidang media di Islamabad.

"Keputusan ini akan membolehkan pelajar-pelajar Gaza menamatkan pengajian perubatan mereka di Pakistan dalam bidang kardiologi, ortopedik, onkologi, pediatrik dan pembedahan untuk menangani keperluan kritikal dalam sistem penjagaan kesihatan Gaza," kata Baloch.

Pelajar Palestin dari Gaza akan segera mendaftar di kolej perubatan di Pakistan dalam kumpulan 20-30 orang, katanya.

Yayasan Al-Khidmat, antara organisasi bantuan terbesar di negara itu dan Universiti Antarabangsa Rafah Islamabad akan menawarkan biasiswa kepada 100 pelajar perubatan dari Gaza bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Yayasan dan universiti itu telah menandatangani perjanjian dengan Kedutaan Palestin di Islamabad bulan lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan